Ketika berada di rumah kediaman atau pejabat anda, ambil sedikit masa untuk perhatikan keadaan siling dan dinding disekitar anda. Adakah anda menemui tompok-tompok hitam, cendawan-cendawan kecil yang mula menjalar atau perubahan warna yang tidak sekata?
Sekiranya tanda-tanda tersebut wujud, ia bermakna kediaman yang anda duduki mengalami penyakit yang dikenali sebagai sindrom bangunan sakit (SBS). Sindrom ini besar kemungkinan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan kepada penghuninya.
Sindrom ini bukan sahaja disumbangkan oleh jangkitan-jangkitan kulat pada dinding dan siling rumah, tetapi dimudaratkan lagi dengan ruang peredaran udara yang tidak lancar sehingga menyebabkan penghuninya berasa tidak selesa.
Perasaan tidak selesa berkenaan biasanya berbeza untuk setiap individu. Bagaimanapun, jangan abaikan perasaan itu sekiranya penyakit kecil seperti batuk, pening dan lemas mula wujud setiap kali berada dalam ruang kediaman atau pejabat yang sama.
Kebanyakan kediaman dan bangunan hari ini dibina dengan aliran pengudaraan yang lemah menyebabkan bau dan pencemaran terperangkap di dalamnya, sekali gus menghalang proses pembersihan udara secara semula jadi.
Habuk, cendawan, kulat, bakteria dan virus boleh mengisi udara dan dalam ruang kediaman kita dari masa kesemasa. Ia mengakibatkan bau busuk, kerengsaan dan pelbagai respons alergi manakala pembebasan kimia daripada cat, pencuci, karpet dan bahan kimia lain turut disedut setiap hari.
Sekiranya keadaan sedemikian berterusan, ianya akan memberi kesan terhadap tahap kesihatan sehingga menyebabkan sakit kepala, sakit mata, bersin, batuk, kesukaran bernafas dan tiada mood untuk bekerja.
Masalah masyarakat hari ini adalah mereka tidak menyedari bahawa pencemaran banyak berlaku dalam ruang kediaman atau pejabat mereka sendiri sehingga mereka mengabaikan simptom-simptom penyakit yang mereka hidapi.
Barangkali, kebanyakan dari kita tidak menyedari bahawa simptom-simptom berkenaan hilang apabila kita meninggalkan ruang bangunan atau kediaman yang mengalami sindrom sakit berkenaan.
Pada kebiasaanya, sesebuah bangunan boleh dikategorikan sebagai sakit apabila lebih 30 peratus penghuninya mengadu menghidapi simptom-simptom yang dinyatakan tetapi kebanyakan simptom berkenaan hilang apabila pengadunya meninggalkan bangunan tersebut.
Walaubagaimanapun, sumber pencemaran lain yang menjadi punca sindrom bangunan sakit adalah aktiviti penyelenggaraan yang tidak teratur, bahan kimia, bahan pencuci, ubah suai bangunan, perabot-perabot baru, kelengkapan pejabat sedia ada dan sebagainya.
Terdapat pelbagai jenis instrumen di pasaran atau ditawarkan pengamal kesihatan untuk tujuan pemeriksaan. Ia digunakan untuk menentukan suhu dan kelembapan udara serta kadar partikel bawaan udara, partikel ultra halus (UFPs) dan kimia aerosol.
UFPs adalah partikel bersaiz kurang 0.1 mikrometer yang terhasil daripada aktiviti pembakaran dan reaksi kimia. Pernafasan yang mengandungi partikel pula mencabar tahap pertahanan semulajadi badan.
UFPs adalah partikel bersaiz kurang 0.1 mikrometer yang terhasil daripada aktiviti pembakaran dan reaksi kimia. Pernafasan yang mengandungi partikel pula mencabar tahap pertahanan semulajadi badan.
Melalui pemeriksaan menggunakan instrumen khas ini, pencemaran-pencemaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar boleh dikenal pasti antaranya kontaminasi kimia seperti karbon dioksida, karbon monoksida, formaldehid, kompaun organik meruap dan asap tembakau.
Pencemaran udara juga dilihat melalui suhu udara, kelembapan dan kelajuan udara yang tidak seimbang selain pembebasan agen biologikal seperti virus dan spora serta radiasi seperti radon.
Dalam pada itu, pembakaran lingkaran nyamuk turut memberi kesan kepada kesihatan pernafasan kanak-kanak kerana pembakaran bahan utama penghalau nyamuk itu iaitu insektisida piretroid membebaskan gas yang berbahaya.
Pembakaran komponen-komponen daripada lingkaran nyamuk ini akan membebaskan gas yang apabila kanak-kanak bernafas ia akan masuk kebahagian bawah paru-paru dan berkemungkinan menyebabkan karsinogenik yang menyebabkan kanser.
Gas-gas ini juga mampu mengganggu sistem pernafasan dan pendedahan berpanjangan meningkatkan risiko penyakit asma dan berdehit ke atas kanak-kanak.
Anda perlu memiliki pengetahuan mengenai SBS bagi mengawal persekitaran dalaman sama ada kediaman mahu pun ruang pejabat.