Pernahkah anda mengalami masalah air paip yang berbau busuk terutamanya setelah pulang dari bercuti atau dari kampung halaman dalam tempoh yang lama?
Ada kalanya, seisi keluarga akan mengalami masalah sakit perut, cirit-birit atau muntah-muntah setelah kembali menduduki rumah anda. Besar kemungkinan, ini adalah di sebabkan oleh penggunaan air yang tercemar yang berpunca daripada tangki takungan air di dalam rumah anda sendiri.
Ada terdapat berbagai faktor yang menyebabkan air paip yang berbau busuk. Diantaranya ialah konsentrasi besi karat yang berlebihan, kandungan klorin, kandungan bahan tercemar atau kandungan mikroorganisma yang sempat membiak di dalam sistem perpaipan dan tangki takungan air di dalam rumah.
Sekiranya ada terdapat bahan karat yang berlebihan di dalam sistem perpaipan, anda akan dapati warna air yang keluar daripada paip menjadi coklat atau sedikit kekuningan.
Walaubagaimanapun, sekiranya rumah anda masih baru iaitu kurang daripada 20 tahun dan mempunyai sistem perpaipan yang menggunakan bahan HDPE, mungkin masalah bau busuk daripada kesan besi karat adalah sangat terbatas. Sebagai sedikit panduan, pihak berwajib telah melarang penggunaan paip besi di dalam sistem perpaipan luaran dan dalaman rumah yang di gantikan dengan bahan HDPE semenjak beberapa tahun lalu.
Sekiranya anda telah meninggalkan rumah selama beberapa hari atau minggu, maka air yang di tinggalkan bertakung akan mula di penuhi dengan mikroorganisma atau algae yang boleh membiak di dalam air takungan tersebut. Kandungan mikroorganisma atau algae di dalam tangki air sekiranya memenuhi tangki takungan akan mengakibatkan bau busuk yang tidak menyenangkan seperti bau bangkai binatang.
Oleh yang demikian, anda mempunyai beberapa pilihan untuk mengatasi masalah ini di antaranya ialah:-
1. Tutup paip utama bagi mengelakkan air memasuki tangki rumah beberapa jam atau sehari sebelum bertolak bergantung kepada penggunaan dan sais tangki takungan. Ini akan mengurangkan sedikit kandungan air di dalam tangki rumah anda.
2.Tinggalkan tangki rumah anda kosong sebelum meninggalkan rumah untuk keluar bercuti yang memakan masa lebih daripada seminggu.
Setelah anda kembali semula kerumah daripada bercuti, lakukan perkara berikut:-
1. Sekiranya ada sedikit air yang tertinggal di dalam tangki takungan, gunakannya untuk menyiram tanaman, mencuci tandas atau mencuci kereta.
2. Jangan ambil air di dalam tandas untuk membuat air minuman, menyediakan atau mencuci makanan, sebaliknya gunakan air dari singki dapur rumah anda untuk kegunaan memasak. Ini adalah kerana air dari singki pada kebiasaannya di salurkan terus dari paip utama dan tidak di ambil dari tangki penakung air.
3. Sekiranya anda terlupa untuk menutup paip utama sebelum bertolak, berikan sedikit masa untuk air bertakung bercampur atau di gantikan dengan air baru sebelum menggunakan air di dalam bilik air untuk menggosok gigi atau mencuci mulut.
Pada kebiasaannya, air paip yang berbau akan mengambil sedikit masa untuk pulih sediakala bergantung kepada kadar penggunaan air di rumah sebelum keseluruhan kandungan mikroorganisma dapat di keluarkan daripada sistem perpaipan rumah anda. Ada kalanya ianya mengambil masa selama berhari-hari untuk pulih sedia kala sekiranya tiada tindakan dapat di lakukan.
Selamat mencuba.