Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang sejarah masjid ini. Masjid Kapitan Keling adalah terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling atau dahulunya dikenali sebagai Pitt Street. Masjid ini telah dibina oleh pedagang-pedagang India Muslim sekitar tahun 1800.
Pada asalnya, masjid ini mempunyai tapak seluas 18 ekar yang diperuntukkan untuk komuniti India Muslim di Pulau Pinang oleh Gabenor Pulau Pinang iaitu Sir George Leith pada November 1801.
Pada tahun 1910an, kerja-kerja penaiktarafan telah dilakukan dengan mengadaptasikan senibina Moghul iaitu penambahan kubah-kubah, menara-menara kecil, sebuah menara besar dan madrasah. Kerja-kerja penambahbaikan ini telah disiapkan pada tahun 1916.
Penaiktarafan seterusnya telah dilakukan pada tahun 1930 yang memberikan rekabentuk Masjid Kapitan Keling seperti rekabentuk sekarang ini. Pengubahsuaian tersebut telah dilakukan kerana rekabentuk asalnya dianggap sebagai kurang praktikal. Bagi mengekalkan ciri-ciri tradisi asalnya, masjid ini tidak dibina semula tetapi hanya diperbesarkan. Di antara kerja-kerja utama yang dilakukan pada waktu itu ialah meninggikan siling di ruang solat utama, meningkatkan sistem pengudaraan dan memperbaiki sistem pencahayaan. Seni hiasan dan rekabentuk luaran dan dalaman masjid ini pada asalnya menggadaptasikan seni geometrik.
Masjid Kapitan Keling telah menjalani satu lagi fasa pembinaan apabila kerja-kerja membaik pulih telah dilakukan pada tahun 2003 yang menelan belanja sebanyak RM5 juta. Kerja-kerja baikpulih terpaksa dilakukan kerana berlaku banyak kebocoran serta kerosakan pada sebahagian besar bangunan dan masjid ini terpaksa ditutup selama setahun semasa kerja-kerja baikpulih. Di antara kerja-kerja tambahan lain ialah pembinaan lorong pejalan kaki berbumbung menuju ke tempat wudhuk jemaah wanita, pemasangan hiasan kaligrafi Islam di dinding-dinding serta kubah utama dan pembinaan Pusat Maklumat Islam di bahagian bawah menara.
Akibat dari pengurusan tanah yang tidak terkawal, tapak tanah yang telah di gazetkan untuk masjid ini telah berkurangan dengan banyaknya. Pada tahun 1903, tapak tanah yang asalnya 18 ekar telah menjadi 8 ekar dan kini telah menjadi sebesar apa yang kita boleh lihat sekarang.
Semoga kerja-kerja untuk memperelokkan serta memakmurkan masjid ini akal terus dipertingkatkan di masa ini dan akan datang.
Tahukah anda? Nama Kapitan Keling adalah berasal dari perkataan Captain of India yang dialihbahasakan dari "Captain" menjadi "Kapitan" manakala perkataan "Keling" adalah gelaran untuk kaum pendatang dari benua India yang digunakan oleh masyarakat Melayu pada kurun-kurun yang terdahulu.