Thursday, March 10, 2011

Bagaimana untuk hindari pencemaran udara di dalam rumah

Salah satu aspek penting penjagaan rumah yang sering di abaikan oleh sebahagian besar masyarakat ialah berkenaan Sistem Pengudaraan serta pencahayaan dalaman / Internal Ventilation and Ligting System.

Tahukah anda sekiranya terlalu sedikit udara segar yang boleh memasuki rumah, maka pencemaran akan terus berkumpul sehingga ke tahap yang boleh menjejaskan kesihatan, meningkatkan bau yang kurang menyenangkan serta mengurangkan keselesaan seluruh isi rumah.


Salah satu pendekatan yang perlu di lakukan untuk mengurangkan tahap pencemaran udara didalam rumah ialah dengan meningkatkan kadar kemasukan udara segar daripada luar.

Ada terdapat dua cara udara segar boleh memasuki rumah anda :-
1. Kemasukan udara secara semulajadi melalui pintu, tingkap atau lubang udara. Kemasukan semulajadi ini adalah bergantung kepada peredaran udara yang diujudkan melalui tiupan angin atau perubahan suhu.
2. Kemasukan udara secara mekanikal dengan menggunakan alat penyedut udara atau 'exhaust fan' dan alat penyaman udara yang membenarkan sistem pengudaraan luar memasuki rumah.

Samada anda menggunakan kaedah semulajadi atau mekanikal untuk meningkatkan pengudaraan di dalam rumah, apa yang mustahak ialah pastikan bahawa kadar pengudaraan udara yang menggantikan udara tercemar dengan udara segar adalah mencukupi. Apabila kadar pengudaraan terlalu rendah, maka tahap pencemaran udara akan terus meningkat.

Secara kasarnya, kadar pengudaraan yang anda perlukan untuk Bilik tidur ialah 15kps (kaki padu seminit) bagi sebuah bilik. Manakala bagi sebuah rumah yang mempunyai 3 bilik tidur kadar pengudaraan yang di perlukan ialah; (3bilik tidur+1) x 15 kps = 60kps, Dapur ialah 100kps dan Bilik air ialah 50kps.

Kebanyakan rumah di Malaysia telah di reka khas mengikut piawaian yang telah di tetapkan oleh Undang-undang Kecil Bangunan di mana semua Akitek dan Pemaju Perumahan adalah di wajibkan mematuhi garis panduan sistem pengudaraan dan pencahayaan yang secukupnya.

Namun begitu, masalah yang sering timbul ialah apabila para pemilik sesebuah rumah atau bangunan mula bercadang untuk mengubahsuai kediaman masing-masing tanpa mengambil peduli tentang sistem pengudaraan di ruang rumah sediada.

Kesilapan yang sering di lakukan ialah membina ruang tambahan seperti bilik tidur atau memperbesarkan ruang dapur di bahagian belakang dengan memasang tembok yang menutupi tingkap dan ruang pengudaraan sediada. Apabila ini di lakukan maka bilik tidur dan tandas di bahagian belakang akan kehilangan sistem pengudaraan dan pencahayaan semulajadinya.

Sekiranya anda menghadapi kesukaran untuk membuat susun-atur bilik yang dapat mewujudkan pengudaraan semulajadi secara berkesan, anda boleh mengambil pendekatan lain dengan mengaplikasikan sistem pengudaraan secara mekanikal iaitu memasang ‘Ventilation Fan’ pada tandas dan Alat Penyaman Udara yang membenarkan pengaliran udara segar kepada bilik tidur yang tidak mempunyai tingkap.

Selain daripada itu, anda juga di nasihatkan untuk menggunakan ‘Cooker Hood’ yang di sambungkan kepada sesalur udara / ventilation duct yang boleh menyedut dan menyalurkan segala asap dan haba daripada dapur terus keluar rumah. Dapur yang mempunyai ‘Cooker Hood’ yang hanya berfungsi untuk menapis asap dan menghembuskan udara ke dalam ruang dapur tidak dapat membantu menjalankan fungsi pengudaraan yang berkesan. Ianya hanya mampu menapis sebahagian kecil pencemaran asap dapur sementara haba dan bahan pencemaran lain masih tetap terperangkap di dalam rumah.

Di antara amalan yang baik bagi memastikan pengudaraan dan pencahayaan semulajadi di dalam rumah adalah dengan membuka tingkap di waktu pagi hingga petang agar udara dapat bebas keluar masuk di samping membenarkan cahaya matahari memasuki rumah melalui tingkap.

Sistem pengudaraan dan pencahayaan yang sempurna di dalam rumah juga dapat membantu meningkatkan suasana nyaman dan selesa disamping membantu memelihara kesihatan seluruh penghuni rumah.

-House On earth.